KUALA LUMPUR: Istana Negara belum membuat sebarang keputusan berhubung pelantikan Perdana Menteri Ke-10 dan pembentukan kerajaan baharu buat masa ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Perkara itu disahkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.
Anwar berkata dalam pertemuan itu, Agong menitahkan keperluan menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan yang inklusif untuk semua kaum, agama dan wilayah.
Ditanya mengenai sama ada keputusan mengenai pelantikan Perdana Menteri ke-10, Anwar berkata ia adalah hak mutlak Agong.
Dalam pertemuan itu, kata Anwar, Yang di-Pertuan Agong bersetuju untuk mengambil sedikit masa lagi sebelum memutuskan Ahli Dewan Rakyat yang memiliki sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu.
Selain itu, katanya, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan pandangan baginda mengenai keperluan mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan yang benar-benar mewakili semua kaum, agama dan wilayah.
“Baginda menzahirkan pandangan perlu ada kesepakatan, kerjasama semua pihak supaya kerajaan itu kukuh dan boleh tumpu perhatian menjaga kepentingan rakyat dan memulih ekonomi.
“Kerajaan yang ditubuhkan kelak juga harus mewakili semua pihak, kaum dan wilayah. Maknanya, inklusif dalam erti kata sebenar. Ini semangat kerajaan perpaduan, yang kebetulan turut saya sebutkan semalam.
“Kita berilah masa sedikit untuk kami dan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi pertimbangan dan menggunakan kebijaksanaan Tuanku untuk memutuskan perkara muktamad,” katanya pada sidang media di hadapan pintu dua Istana Negara di sini, hari ini.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah menitahkan Anwar dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menghadap baginda di Istana Negara, susulan tiada Ahli Dewan Rakyat yang didapati mendapat majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
Muhyiddin dilihat keluar lebih awal dari Istana Negara sekitar jam 5.15 petang tadi, namun tidak berhenti untuk mengadakan sidang media bersama wartawan yang menunggu sejak pagi tadi.
Sementara itu, ditanya berhubung laporan yang mengatakan beliau dilantik sebagai Perdana Menteri interim, Anwar menafikan perkara itu dan memaklumkan masih belum ada sebarang keputusan setakat ini.
“Sekarang ini ada kekosongan jawatan dan terbuka untuk permohonan,” katanya berseloroh, ketika diminta mengesahkan status jawatan tertinggi pentadbiran negara itu.
Presiden PKR itu turut menegaskan persoalan mengenai penubuhan kerajaan minoriti yang digembar-gemburkan beberapa pihak, tidak berbangkit ketika ini.
Ditanya mengenai sama ada Yang di-Pertuan Agong ada menetapkan tempoh masa bagi mempertimbang pelantikan Perdana Menteri Ke-10, Anwar memaklumkan pihaknya tidak meletakkan sebarang tempoh kepada baginda untuk membuat keputusan.
“Kita secara hormat tidak bagi ketetapan. Hanya kita minta pertimbangan, kebijaksanaan dan ehsan baginda untuk memutuskan sebaiknya,” katanya.
Ketika ditanya sama ada Yang di-Pertuan Agong ada meminta beliau mewujudkan kerajaan perpaduan bersama parti dan gabungan lain, Anwar memaklumkan baginda sudah sekian lama menyatakan hasrat mengenai keperluan mewujudkan kerajaan perpaduan.
“Kerajaan perpaduan itu saya sebut semalam, dan kebetulan Yang di-Pertuan Agong juga sejak bertahun lalu secara konsisten memohon supaya ada semangat perpaduan di kalangan rakyat.
“Ini termasuk tatkala Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Muhyiddin dilantik (sebagai Perdana Menteri), tapi mereka tidak menjalankan.
“Lainlah kalau saya. Saya hormat dan patuh,” katanya.
Semalam, Ahli Parlimen dan pimpinan tertinggi PH hadir ke Hotel Seri Pacific di sebelah ibu pejabat UMNO, untuk berunding dengan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengenai kerjasama kedua-dua parti itu bagi membentuk kerajaan perpaduan.
BHonline-