BENTONG – DAP menampilkan dua calon Melayu untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ikuti Mynewshub: Telegram
Calon berkenaan, Muhamad Khairi Khalid yang juga muka baharu parti tersebut bertanding di DUN Pulau Manis manakala calon Parlimen Lipis, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji turut diumum bertanding di DUN Tras.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dalam satu majlis di Bentong pada Selasa.
Dalam majlis tersebut, Anthony mengumumkan parti itu bertanding di lapan kerusi di DUN Pahang.
DAP juga mempertaruhkan dua muka baharu bagi DUN Pahang iaitu Ho Chi Yang, calon termuda berusia 27 tahun di kerusi DUN Tanah Rata dan Thomas Su di DUN Ketari menggantikan Young Syefura Othman yang bertanding di Parlimen Bentong.
Untuk kerusi DUN Mentakab, Sabai, Triang dan Bilut pula, DAP mengekalkan penyandang kerusi berkenaan.
DUN Mentakab ditandingi Woo Chee Wan dan kerusi DUN Sabai oleh D Kamache.
Setiausaha DAP Pahang, Lee Chin Chen akan mempertahankan kerusi DUN Bilut yang dimenangi pada PRU14.
Sebelum itu, Anthony pada 26 Oktober lalu mengumumkan empat calon daripada parti tersebut akan bertanding di kerusi parlimen di Pahang.
Selain Young Syefura Othman (Bentong) dan Tengku Zulpuri (Lipis), dua lagi calon, Chow Yu Hui bertanding di parlimen Raub dan Chiong Yoke Keong (Cameron Highlands).
-Sinar Harian