KUALA LUMPUR: Skim empangan hidrolektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) iaitu Skim Hidroelektrik Kenyir, Skim Hidroelektrik Sungai Perak dan Skim Hidroelektrik Cameron Highlands bersedia menakung kapasiti air dari hulu sungai yang dijangka meningkat pada musim tengkujuh tahun ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), Datuk Nor Azman Mufti, berkata paras air di ketiga-tiga skim empangan hidroelektrik itu diturunkan sejak Julai sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut kali ini.
“Persediaan yang dilakukan termasuk pengurusan paras air empangan melalui pelepasan terkawal dan pemeriksaan menyeluruh di stesen janakuasa.
“Dengan mengoptimumkan penggunaan air secara sasaran draw-down, paras air tasik telah diturunkan secara terancang ke paras minimum sebelum bermulanya musim tengkujuh dengan mengambil kira keperluan operasi supaya keupayaan penjanaan elektrik masih boleh dilakukan.
“Pelan persediaan banjir secara menyeluruh telah dilaksanakan selaras dengan pendekatan syarikat dalam mempertingkatkan komitmen dalam usaha berkaitan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam memacu perjalanan peralihan tenaga bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Nor Azman berkata, pihaknya juga bekerjasama rapat dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenai ramalan kaji cuaca dan taburan hujan sebenar,
menjalankan latihan pengungsian dan melaksanakan ujian tahap ketersediaan bersama agensi kerajaan yang terbabit dengan pengurusan bencana seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Katanya, TNB Genco turut memberi jaminan kesemua empangan hidroelektrik milik syarikat utiliti itu berada dalam keadaan baik dan selamat.
Maklumat lanjut, hubungi talian TNB CareLine di 15454 atau Facebook TNB Careline.
BHonline-