KUCHING : Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan mengulangi kesilapan lalu dan terperangkap dengan muslihat Pakatan Harapan (PH), seperti yang terjadi pabila ia menyokong kerajaan PH yang pemerintah selama 22 bulan gagal menunaikan janji-janjinya kepada Sarawak.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, apa yang dialami Sarawak selama 22 bulan lalu ketika negara di bawah pentadbiran kerajaan PH sudah cukup menjadi pengajaran dan rakyat Sarawak jugs menyedari bahawa kerjaan PH gagal dalam.menunaikan janji-janji pilihan rayanya.
“Malah projek yang telah diluluskan oleh kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) sebelum PH turut ditarik balik dan inilah pengajarannya.
“Jangan sampai pisang berbuah dua kali,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) GPS di sini malam tadi.
Tambahnya Sarawak mesti sedar apa yang dihadapi semasa kerajaan PH.
“Kini GPS walaupun kita agak bebas dalam politik kita, tetapi kita juga mahukan kerajaan persekutuan yang kuat kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita telah membuang masa kerana tidak ada tumpuan diberi kepada pelaksanaan dasar yang boleh membantu rakyat,” tegasnya
Mengenai manifesto GPS, Premier Sarawak berkata, ia menjurus kepada janji kerajaan GPS untuk terus mempertahankan hak Sarawak dan membawa pembangunan yang menyeluruh terutamanya ke kawasan luar bandar.
“Ini akan membolehkan kerajaan mewujudkan negeri Sarawak yang stabil dan makmur.
“Saya telah diberi kepercayaan menjadi Premier untuk memimpin Sarawak. Oleh itu, saya akan terus mempertahankan hak Sarawak, membawa pembangunan yang menyeluruh terutamanya ke
kawasan luar bandar,” katanya.
Tambahnya, hanya pemimpin tempatan dalam GPS yang memahami kehendak rakyat Sarawak.
Katanya, sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan telah meneliti dan melihat arah tuju Sarawak dalam Malaysia.
“Kita menyasarkan tujuh perkara yang penting, iaitu kita berkehendakkan sebuah kerajaan Sarawak yang berpandangan jauh, berintergiriti dan cemerlang.
“Kedua supaya kita dapat menjaya dan komited mengembalikan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan juga laporan Jawatankuasa antara kerajaan (IGC) kerana kita ada lagi perkara yang belum kita sempat selesaikan
“Ketiga, kita berkehendakkan politik yang stabil dan arah tuju jelas ke arah 2030,” katanya.
Keempat, katanya memperkenalkan dan melaksanakan 120 inisiatif dan dasar utamakan rakyat, kelima mengamalkan dasar sosial agama dan ekonomi yang adil saksama dan inklusif serta mengutamakan semua peringkat dan golongan masyarakat.
Selain itu, katanya manifesto GPS juga memberi penekanan usaha kerajaan mempertingkatkan hasil dan pendapatan Sarawak.
Justeru, katanya GPS berkehendakkan calon-calon yang berwibawa dan prihatin kepada rakyat dan tadbir urus kerajaan yang cekap, berintegriti dan profesional.
Beliau berkata, berlandaskan janji-janji manifesto PRN-12 yang telah dilaksanakan, kerajaan GPS akan teruskannya dalam masa lima tahun ini dengan menjurus kepada Sarawak menjadi sebuah negeri maju menjelang tahun 2030.
“Apa yang penting sejak empat tahun lalu kita telah berjaya mengukuhkan kedudukan kewangan kita dan dengan kekuatan kewangan itu kita dapat melaksanakan projek yang kita rancangkan untuk Sarawak.
“Apa yang kita perlukan sekarang ialah kerjasama antara kita dan kerajaan persekutuan,” tambahnya.
Abang turut mengingatkan menjelang tahun 2023 dan 2024 ekonomi global dijangka tidak begitu baik dan dijangka akan berlaku kemelesetan.
“Ini bermakna kita perlu mempunyai dasar yang sangat berkesan untuk meningkatkan ekonomi kita dan dalam masa yang sama untuk memastikan rakyat kita mempunyai makanan di atas meja dan itulah yang penting untuk kita,” kata Abang Johari.
-Utusan Online