KUALA LUMPUR : Kadar inflasi yang dilihat semakin terkawal khususnya Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia memberi petunjuk bahawa Kadar Dasar Semalaman (OPR) berkemungkinan tidak lagi akan dinaikkan atau hanya berlaku kenaikan yang tidak berturut-turut tahun depan.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata kenaikan OPR adalah disebabkan tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) mahu menyeimbangkan pasaran modal dengan arus pasaran kewangan dunia yang dipengaruhi oleh kenaikan kadar faedah oleh bank pusat AS daripada sifar peratus pada Mac lalu hinggalah pada kadar 4.5 peratus ketika ini.
Katanya, langkah itu diambil berikutan AS dijangka menghadapi kenaikan inflasi yang tinggi melebihi sembilan peratus setiap bulan.
“Justeru, BNM menaikkan OPR berjumlah 100 mata asas atau satu peratus sejak bulan Mei hinggalah November.
“Namun, kadar inflasi negara masih terkawal walaupun naik antara empat ke lima peratus, berikutan subsidi yang besar oleh kerajaan sehingga RM77 bilion terutama untuk bahan api.
“Kini, inflasi mula terkawal sama ada di AS atau Malaysia. Jangkaan kegawatan ekonomi dunia tahun depan juga memberikan petanda kemungkinan OPR kita tidak lagi dinaikkan, walaupun ada ura-ura untuk kenaikan 0.25 peratus pada bulan Januari dan Mac tahun 2023,” katanya kepada BH.
Kadar inflasi Malaysia pada Oktober 2022 turun kepada empat peratus berbanding 4.5 peratus yang direkodkan pada September 2022.
Kadar inflasi AS turut menunjukkan penurunan apabila berada pada 7.7 peratus bulan lalu berbanding setinggi 8.2 peratus bulan sebelumnya.
Aimi Zulhazmi berkata, perkembangan dari AS menunjukkan Rizab Persekutuan (Fed) akan mengubah strategi untuk memperlahankan kenaikan kadar faedah kerana bimbang kenaikan yang agresif akan menyukarkan pertumbuhan ekonomi negara itu.
Beliau berkata, kadar kenaikan faedah untuk bulan Disember oleh bank pusat AS itu dijangka lebih rendah hanya 0.5 peratus berbanding jangkaan awal 0.75 peratus sebelum ini.
“Bagi mengharungi ekonomi global yang mencabar tahun 2023, kerajaan disara memberi sokongan kepada ekonomi domestik supaya menjadi enjin pertumbuhan positif Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Selain dasar fiskal oleh kerajaan dengan bantuan kewangan oleh kerajaan, dasar monetari oleh BNM juga wajar membantu menjana ekonomi domestik dengan menyediakan kadar pinjaman pada harga yang murah, supaya perniagaan dan pengguna akan terus berbelanja bagi menjana ekonomi Malaysia.
“Justeru, OPR boleh dikekalkan pada kadar sekarang sehinggalah ekonomi domestik terus pulih,” katanya.
Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, pula berkata OPR mungkin akan dinaikkan tahun depan, tetapi tidak akan berlaku secara berturut-turut seperti tahun ini
“Ini kerana, inflasi sudah mula menunjukkan trend penurunan dan juga isyarat dari AS memungkinkan Fed memperlahankan kenaikan kadar faedahnya tahun depan, sekali gus memberi ruang untuk BNM tidak menaikkan kadar OPR dengan ketara.
“Ada kemungkinan kenaikan tahun depan akan membawa OPR beransur-ansur kepada 3.25 peratus,” katanya.
-Berita Harian