ISKANDAR PUTERI : Johor Darul Ta’zim (JDT) berpesta gol apabila membelasah Kelantan FC 5-0 pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Namun JDT yang meraih kemenangan bergaya 8-0 secara agregat perlu menunggu lawan mereka, Selasa ini sama ada Sabah FC atau Kuching City FC selepas perlawanan kedua-dua pasukan itu bermula lewat akibat faktor cuaca.
Pada pertembungan itu, Bidoglio membuat rombakan dalam kesebelasan utama apabila mengetepikan Shahrul Saad yang digantung satu perlawanan selepas mengumpul dua kad kuning.
Malah, Leandro Velazquez dan Feroz Baharudin juga tidak tersenarai kerana mengutip satu kad kuning dan kedua-dua pemain itu bakal diturunkan pada aksi separuh akhir pertama nanti.
Sebaik babak pertama bermula, anak didik Bidoglio begitu rakus mengasak ke kubu skuad kendalian Rezal Zambery Yahya yang terpaksa berhempas pulas mengekang gerakan berbahaya barisan serangan skuad Harimau Selatan.
Akibat asakan berterusan tuan rumah menyebabkan benteng Kelantan FC akhirnya roboh pada minit ke-10 selepas Bergson Da Silva bijak memperdaya dua pertahanan pelawat sebelum merembat leret tepat ke penjuru kanan gawang menewaskan penjaga gol, Ahmad Solehin Mamat.
Tersentak dengan gol itu, skuad The Red Warriors yang ketinggalan dengan defisit 0-4 secara agregat cuba memburu gol apabila gerakan yang dimulakan Ghaffat Abdul Rahman Yang mengumpan bola kepada Felipe Herera melakukan rembatan leret tetapi penjaga gol, Farizal Marlias sempat menghalang dengan menggunakan kaki.
Skuad Harimau Selatan yang menguasai keseluruhan permainan menambah derita anak didik Rezal Zambery pada minit ke-34 selepas bola sepakan percuma dari jarak 30 meter tepat ke penjuru kanan gawang menyaksikan Ahmad Solehin tergamam melihat bola menerjah jaring.
Bergson mencetak gol kedua peribadi selang tiga minit kemudian apabila merembat bola leret ke penjuru kiri gol selepas menerima bola lorongan Akhyar Rashid menewaskan Ahmad Solehin untuk meletak kedudukan 6-0 secara agregat.
Kelantan FC terus merana dengan corak permainan tersusun JDT apabila gawang mereka dirobek lagi pada minit ke-40 dan Akhyar menjadi pencetus gerakan apabila melambung bola tepat kepada Syahmi Safari yang pantas merembat bola menewaskan Ahmad Solehin.
JDT terus memanfaatkan kerapuhan benteng pelawat apabila Nazmi Faiz Mansor menambah jaringan pada minit akhir babak pertama.
Skuad Harimau Selatan yang selesa dengan jaringan besar pada perlawanan itu tampak mengendurkan asakan sepanjang 45 minit babak kedua dan lebih gemar menguasai bola bagi mengelak pasukan pelawat bertindak mencuri peluang dan kedudukan 5-0 yang memihak tuan rumah kekal sehingga tamat perlawanan.
-Berita Harian