JAKARTA – Pasukan penyiasat Indonesia memaklumkan bahawa nahas pesawat Boeing 737-500 milik Sriwijaya Air yang mengorbankan 62 orang berlaku disebabkan oleh kerosakan sistem pendikit yang melambatkan tindak balas juruterbang, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) kelmarin.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pesawat dengan nombor penerbangan SJ-182 itu terhempas di Laut Jawa pada 9 Januari 2021, beberapa minit selepas berlepas dari Jakarta dalam insiden yang membunuh kesemua penumpang dan anak kapal.
Dalam laporan akhir mereka, pasukan penyiasat menyalahkan beberapa faktor termasuk kegagalan berulang kali sistem pendikit.
Menurut seorang pegawai penyiasat berkenaan, sistem pendikit automatik pesawat berusia 26 tahun itu gagal berfungsi sejurus selepas berlepas.
Kerosakan tersebut menyebabkan SJ-182 condong mendadak di luar laluan sebelum menjunam muncung dahulu dari ketinggian 3,000 meter ke dalam laut, kata Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Negara (KNKT).
“Kru penerbangan ada menyatakan bahawa sistem pendikit tidak boleh diservis,” kata KNKT.
Tambahnya, kru kokpit tidak bertindak balas terhadap perbezaan dalam prestasi pesawat pada waktu kejadian. Ia mungkin disebabkan oleh kurangnya pemantauan daripada juruterbang.
Laporan kelmarin turut menyatakan, situasi tersebut berlaku akibat kekurangan latihan dalam kalangan juruterbang mengenai bagaimana untuk bertindak balas dalam situasi kecemasan seperti itu.
Nahas pesawat Sriwijaya Air itu merupakan kemalangan udara ketiga paling buruk di Indonesia dalam tempoh enam tahun.
Pada 2014, sebuah pesawat AirAsia A320 terhempas ke dalam Laut Jawa ketika cuaca buruk dan meragut nyawa 162 penumpang.
Empat tahun kemudian pada 2018, sebuah pesawat Lion Air jenis Boeing 737 Max turut terhempas ke dalam laut yang mengorbankan 189 penumpang.
-Kosmo Online