Naib Presiden Umno, Shahril Hamdan antara pemimpin terbaru dalam parti itu yang menyertai desakan agar presidennya, yang juga pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan susulan kekalahan teruk gabungan itu pada pilihan raya umum semalam.
Ikuti Mynewshub: Telegram
“Saya sependapat dengan YAB Menteri Besar Johor. Iaitu, tanpa mengurangkan hormat kepada beliau (Zahid) sebagai individu, saya berpandangan bahawa pemimpin nombor satu presiden Umno dan Pengerusi BN perlu memaparkan contoh dengan memimpin proses mengambil tanggungjawab kekalahan ini – berundur secara terhormat.
“Biar kepimpinan dan individu lain memimpin perbincangan membuat keputusan besar seterusnya untuk parti ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shahril yang tewas di kerusi Parlimen Alor Gajah turut mengumumkan peletakan jawatannya selaku ketua penerangan Umno.
“Atas semangat ‘collective responsibility’ itu, saya juga meletakkan jawatan selaku ketua penerangan Umno Malaysia. Saya menghargai peluang yang telah diberikan dan tidak akan melupakannya,” katanya.
BN di bawah kepimpinan Ahmad Zahid mencipta sejarah paling buruk dalam PRU apabila hanya meraih kemenangan di 30 kerusi Parlimen.
Sementara itu, Shahril berkata Umno perlu mempertimbang langkah seterusnya dalam situasi tiada pihak mencapai angka 112 dalam PRU-15 ini.
“Benar, keputusan ini besar dan perlu dibuat oleh majlis kerja tertinggi (MKT) bukan mana-mana individu atau kelompok sahaja,” katanya.
-Malaysia Kini