KUALA LUMPUR : Teka-teki kerusi bakal ditandingi Khairy Jamaluddin terjawab apabila Menteri Kesihatan itu diumum sebagai calon Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pengumuman dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Dewan Tun Hussein Onn Pusat Dagangan Dunia di sini, malam ini.
Sebelum ini, penyandang kerusi Rembau itu dikaitkan dengan beberapa kerusi Parlimen iaitu Tampin, Kuala Pilah dan Port Dickson di Negeri Sembilan serta Alor Gajah, Melaka.
Khairy tidak mempertahankan kerusi Rembau yang disandang sejak 2008 selepas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, bertanding di kerusi berkenaan.
Sementara itu, menepati ramalan, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, dinamakan sebagai calon kerusi Parlimen Kuala Selangor.
Tengku Zafrul akan berdepan saingan penyandang kerusi Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefley Ahmad daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam misi merampas kembali kerusi itu daripada Pakatan Harapan (PH).
-Berita Harian