SEOUL: Korea Utara melepaskan empat peluru berpandu balistik ke Laut Barat ketika Washington dan Seoul menamatkan latihan tentera udara terbesar mereka hari ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol menyifatkan pelancaran peluru berpandu balistik antara benua yang salah satunya mendarat berhampiran perairan wilayah Selatan itu sebagai pencerobohan.
Pelancaran itu dibuat ketika ratusan pesawat perang Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan termasuk pesawat pengebom B-1B menyertai latihan Vigilant Storm, yang disifatkan Pyongyang sebagai agresif dan provokatif.
“Tentera Korea Selatan mengesan empat peluru berpandu balistik jarak dekat yang dilancarkan oleh Korea Utara dari Tongrim, Wilayah Pyongan Utara, ke Laut Barat sekitar jam 11.32 pagi hingga 11.59 pagi hari ini.
“Jarak penerbangan mereka dikesan pada kira-kira 130 kilometer (km) , ketinggian kira-kira 20 km, dan kelajuan kira-kira Mach 5 bersamaan dengan lima kali kelajuan bunyi,” kata Ketua Staf Bersama Korea Selatan (JCS) dalam satu kenyataan.
AS dan Korea Selatan memberi amaran bahawa pelancaran ini boleh memuncak dalam bentuk ujian nuklear oleh Korea Utara, dan melanjutkan latihan tentera udara mereka hingga Sabtu sebagai tindak balas.
Vigilant Storm pada asalnya dijadualkan berlangsung dari Isnin hingga Jumaat.
UtusanOnline-