Kuala Lumpur : Laporan polis berhubung isu fitnah membabitkan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli terhadap Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Difahamkan laporan polis itu dibuat oleh Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Mohd Zai Mustafa di Balai Dang Wangi, di sini, pada 11 November lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, beliau mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kes berkenaan.
“Kita sahkan terima laporan itu dan ia dirujuk kepada SPRM untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Terdahulu, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air menuntut Rafizi mengemukakan permohonan maaf berhubung isu kelulusan projek rancangan tebatan banjir secara rundingan terus selepas pembubaran Parlimen.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Pandan itu turut dituntut mencadangkan jumlah ganti rugi yang munasabah kepada Tuan Ibrahim.
Sebelum ini, Rafizi mendedahkan yang projek tebatan banjir berkenaan sebenarnya sudah diluluskan secara rundingan terus kepada sebuah syarikat kontraktor menerusi surat bertarikh 7 Oktober 2022.
Katanya, surat bertajuk ‘Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat Fasa 2, Selangor’ itu dihantar oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Asri Hamidon kepada Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Zaini Ujang.
Malah, beliau menegaskan akan melaporkan skandal berkenaan kepada pihak polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
-Harian Metro