KUALA LUMPUR : Barisan Nasional (BN) menjanjikan pemotongan cukai pendapatan dua peratus kepada kelompok M40 dan mereka yang termasuk dalam kumpulan pembayar cukai antara RM50,000 hingga RM100,000.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia bagi membolehkan kuasa beli golongan M40 meningkat dan mengurangkan beban kewangan mereka.
Selain itu, dalam penyelesaian kos sara hidup, Ahmad Zahid berkata, revolusi besar-besaran dalam sistem pengagihan bantuan di seluruh negara dengan memperkenalkan skim bantuan pendapatan asas atau ‘Assistive Basic Income’.
Beliau berkata, menerusi skim itu, kerajaan akan mengkreditkan atau memasukkan secara automatik kepada semua isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM2,208.
“Ia adalah satu ‘top up’ atau tambahan pendapatan bulanan bagi memastikan semua isi rumah di seluruh negara mempunyai sekurang-kurangnya RM2,208 sebulan.
“Skim ini akan hadir sebagai jalan paling adil, munasabah dan strategik untuk menangani kos sara hidup yang sangat membebankan serta memastikan tiada lagi isi rumah yang terpaksa hidup di bawah garis kemiskinan, atau insiden kemiskinan mutlak hanya akan tinggal sejarah di Malaysia,” katanya, di sini hari ini.
-Berita Harian