AYER HITAM : Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus mendapat sokongan padu sebagai ‘poster boy’ dan calon Perdana Menteri daripada Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ikuti Mynewshub: Telegram
Dalam program dihadiri Perdana Menteri semalam, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, mengulangi pendirian partinya yang menyokong 100 peratus kepada Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri.
Beliau menegaskan, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran turut melafazkan pendirian serupa.
“Selaku Presiden MCA saya nak mengulangi apa yang kita lafazkan kepada Perdana Menteri kerana saya masih ingat pada 14 April 2022 selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat keputusan iaitu mencadangkan nama Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri ke-10 jika kita menang PRU15.
“Saya masih ingat pada petang itu selepas Maghrib, kita berbuka puasa, saya ditanya oleh wartawan, apa pendirian MCA, selaku Presiden MCA, saya sudah mendapat mandat daripada parti saya, 100 peratus menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri ke-10.
“Bukan sahaja saya, rakan seperjuangan saya, Presiden MIC pada hari yang sama melafazkan perkara serupa, tidak lain tidak bukan iaitu mencalonkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri jika kita menang PRU15,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Warga Parlimen Ayer Hitam di Taman Suria di sini.
Calon BN Parlimen Ayer Hitam itu berkata, kesetiaan parti komponen BN tidak berbelah bahagi untuk menyokong Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri.
“Saya lihat dua, tiga hari ini, orang datang sini buat bermacam cerita, kononnya kita akan tukar calon, tidak ada, kesetiaan kita tidak berbelah bahagi, hanya kepada Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri seperti dipersetujui oleh semua parti komponen BN.
“Saya nak beritahu pembangkang, jangan jaga tepi kain orang, Kalau mereka ini nak buat cerita bukan-bukan, Perdana Menteri ada di sini, inilah Perdana Menteri ke-9 dan calon Perdana Menteri ke-10,” katanya.
Sokongan sama turut disuarakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang memberi jaminan menyokong kepemimpinan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
“Sebagai Menteri Besar Johor, saya nak bagi jaminan bahawa di peringkat negeri ini, insya-Allah pada 19 November ini, apabila diumum kemenangan BN, kita akan sokong 100 peratus kepemimpinan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri
“Biarpun rambutnya putih, jejaka tampan, hatinya berjiwa muda dan yang akan menerajui tampuk kepemimpinan negara ini Ialah Ismail Sabri.
“Orang Johor, orang Ayer Hitam sayang kepada Ismail Sabri, semua mahu Ismail Sabri jadi Perdana Menteri,” katanya sebelum disambut tepukan gemuruh dan sorakan ‘I love you’ daripada hadirin yang mahu Ismail Sabri kekal menjadi Perdana Menteri.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang juga calon BN Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohammad, berkata kepemimpinan UMNO di negeri itu menyokong Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri.
“Apabila pada 19 November ini dan kita sudah mendapat keputusan yang mana kerajaan boleh ditubuhkan oleh BN, maka selayaknya Perdana Menteri kita ialah Ismail Sabri kerana beliau yang akan menerajui kita. Sekarang beliau adalah Perdana Menteri dan selepas 19 November ini, beliau masih menjadi Perdana Menteri kita,” katanya.
-Berita Harian