Johor Bahru : Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang mula beroperasi sepenuhnya hari ini berjalan dengan lancar dan sempurna tanpa sebarang masalah setakat ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bagaimanapun berkata, pasukan teknikal Rapid Rail serta pihak pengilang peralatan asal (OEM) Thales Group akan terus memantau perjalanan untuk beberapa hari bagi memastikan penambahbaikan dapat dilakukan segera.
Beliau berkata, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) juga sentiasa melaporkan perkembangan mengenai perkhidmatan LRT itu dari semasa ke semasa.
“Pagi ini saya dapat laporan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah mengenai perkembangan terbaru, laporan yang dikemukakan kepada saya ialah semua tren dan sistem memang sempurna serta setakat ini tiada sebarang masalah.
“Bagaimanapun, saya berpesan kepada Prasarana dan pasukan teknikal Rapid Rail kita serta OEM, kita kena pastikan dalam tempoh ini operasinya mantap dan pantau perjalanan untuk beberapa hari lagi, supaya jika ada apa-apa berlaku kita dapat melakukan penambahbaikan segera,” katanya kepada pemberita ketika melawat Johor Bahru Ancient Temple, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan mengenai LRT laluan Kelana Jaya yang beroperasi semula hari ini setelah digantung pada 9 November lalu susulan perkhidmatan yang didapati tidak stabil.
Wee berkata, perkhidmatan LRT itu yang beroperasi sepenuhnya bermula 6 pagi tadi, iaitu dua hari lebih awal daripada jangkaan diharapkan dapat terus berjalan seperti biasa.
“Pengoperasian semula LRT ini dinanti-nantikan, setelah pengujian empat hari berturut-turut dan bermesyuarat bagi memastikan aspek keselamatan dilihat dan jadi keutamaan.
“Saya juga meminta Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) hantar pasukan mereka untuk buat pengesahan tentang keselamatan, kerana ia suatu perkara yang perlu dititikberatkan, kalau berlaku sebarang perkara dan tidak yakin dengan sistem yang ada, maka perlu buat intervensi secepatnya untuk melindungi pengguna,” katanya.
Sementara itu, Wee pada masa sama berkata, syarikat penerbangan di negara ini diminta untuk meningkatkan frekuensi penerbangan masing-masing terutama pada tengah malam ketika musim perayaan.
“Saya telah meminta sebelum ini, supaya Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), supaya kita dapat menambah kekerapan penerbangan kepada penumpang yang sekali gus kurangkan bebanan rakyat khususnya masa perayaan.
“Kalau boleh, guna penerbangan tengah malam kerana tidak sibuk tanpa menjejaskan mutu dan kerja penyelenggaraan, maka mereka boleh diizinkan terbang, jadi sekurang-kurangnya pada Tahun Baru Cina dan seterusnya Aidilfitri berjalan lancar,” katanya.
-Harian Metro