BN menjanjikan cuti bergaji pada hari lahir pekerja sebagai mengiktiraf sumbangan golongan terbabit.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menurut manifesto yang dilancarkan malam ini, cuti berkenaan akan diberikan jika BN berjaya membentuk kerajaan selepas PRU ke-15 yang dijadual berlangsung pada 19 Nov ini.
Menurut BN, ia merupakan salah satu inisiatif gabungan terbabit dalam menangani isu kebajikan yang terabai dalam kalangan orang muda.
“(Ini) menjawab isu orang muda yang dihimpit penggangguran serta golongan pekerja yang berhadapan tekanan gaji rendah, kebajikan yang terabai dan ketidakupayaan untuk menjalani kehidupan selesa dan bermaruah.
“Ini akan dilakukan dengan membina negara yang stabil dan makmur dengan rakyat berpendapatan tinggi,” menurut buku itu.
‘Miskin mutlak hanya akan tinggal sejarah’
Sementara itu, Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi ketika mengumumkan manifesto yang dinamakan sebagai ‘Perancangan Amal dan Usaha PRU15’ (PADU) itu, turut menggambarkan kemiskinan mutlak hanya akan tinggal sejarah di Malaysia.
Katannya langkah itu adalah dengan memperkenalkan skim bantuan yang berkaitan dengan kos kehidupan dan sara hidup yang tinggi di kalangan rakyat.
Menurutnya, satu revolusi besar-besaran dalam sistem pengagihan bantuan di seluruh negara dengan memperkenalkan skim bantuan pendapatan asas atau “Assistive Basic Income”.
“Melalui skim ini, kerajaan akan mengkreditkan atau memasukkan secara automatik kepada semua isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM2,208.
“Ia adalah satu ‘top up’ atau tambahan pendapatan bulanan bagi memastikan semua isi rumah di seluruh negara mempunyai sekurang-kurangnya RM2,208 sebulan.
“Bagi mereka yang mempunyai pendapatan dalam kelompok M40 dan termasuk dalam kumpulan pembayar cukai antara RM50,000 hingga RM100,000 pula, kita akan memberi dua peratus potongan cukai pendapatan,” katanya.
-Malaysia Kini