SHAH ALAM – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan gabungan itu akan memainkan peranan semak dan imbang di Parlimen.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Selain itu Muhyiddin berkata, PN akan meneruskan perjuangan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara berpandukan prinsip prihatin, bersih dan stabil.
“PN akan memainkan peranan semak dan imbang dalam Parlimen dengan membawa suara rakyat selaras dengan prinsip demokrasi berparlimen.
“Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 dengan kerajaan Persekutuan diterajui oleh Pakatan Harapan (PH),” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat.
Perkembangan ini susulan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Jumaat yang memaklumkan parti itu akan mengadakan pertemuan bersama parti komponen PN bagi membincangkan tawaran Anwar untuk menyertai kerajaan perpaduan.
Takiyuddin dilaporkan berkata, Pas juga akan meninjau pandangan dan kesediaan rakyat khususnya pengundi sebelum memuktamatkan sebarang keputusan.
-Sinar Harian