Jelebu : Sumbangan kewangan RM300 dan 30 kilogram beras kepada pasangan bakal mendirikan rumah tangga dan bantuan awal persekolahan RM200 kepada pelajar golongan B40 setiap awal tahun persekolahan antara inisiatif diperkenalkan Barisan Nasional (BN) Jelebu sekiranya menang Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU-15) dan membentuk kerajaan.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Selain itu bantuan khas sekali bayar berjumlah RM1,000 kepada semua anak Jelebu dan bantuan komputer riba kepada pelajar dari keluarga asnaf yang berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Awam (UA) atau swasta, kelas tambahan mata pelajaran terpilih di setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk pelajar sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut ditawarkan kepada penduduk parlimen itu.
Turut ditawarkan program kursus perkahwinan percuma kepada bakal pengantin bagi meringankan golongan belia yang mahu mendirikan rumah tangga.
Calon BN Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, inisiatif berkenaan antara 50 inisiatif daripada lima teras utama yang ditawarkan kepada penduduk di Parlimen Jelebu.
Katanya inisiatif untuk tempoh lima tahun bermula 2023 hingga 2027 ditawarkan kepada seluruh rakyat Jelebu tanpa mengira kaum, agama, bangsa dan latar belakang politik.
“Dikenali sebagai Tekad BN Untuk Keluarga Jelebu, ia dirancang sejak tiga bulan ketika saya memikirkan apa yang belum dibuat dan mahu dilakukan di Jelebu sehingga akhirnya dimuktamadkan menerusi Tekad BN ini.
“Tekad BN ini bukan sekadar dokumen gula-gula pilihan raya sebaliknya komitmen untuk diberikan kepada rakyat sekiranya BN mentadbir negara.
“Ada di antara inisiatif sudah dilaksanakan sebaik saya menjadi Ahli Parlimen pada 2008 lalu namun ia ditambah baik dan Tekad BN ini didokumenkan agar menjadi rujukan penduduk Jelebu,” katanya pada Majlis Pelancaran Tekad BN Untuk Keluarga Jelebu di Pusat Arahan Chennah Dua, Simpang Durian di sini.
Jalaluddin berkata, lima teras diperkenalkan adalah kecemerlangan pendidikan; meraikan peranan wanita dan belia; meningkatkan tahap pembangunan infrastruktur, fasiliti dan alam sekitar; kebajikan rakyat, kesejahteraan komuniti dan pemantapan institusi keagamaan dan bantuan sektor pertanian, komoditi dan perniagaan.
Katanya, inisiatif lain yang ditawarkan adalah program lesen percuma bagi belia Orang Asli berusia 16 hingga 20 tahun bermula tahun depan.
“Selain itu, bantuan khas kepada pemilik kebun yang terjejas hasil pertanian akibat bencana alam seperti banjir, “katanya.
Jalaluddin berkata, selain itu, sasaran pembinaan 1,000 rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun juga ditawarkan.
Tekad BN akan mula diedarkan kepada orang ramai esok melalui Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan ia dicetak dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Cina dan India.
-Harian Metro