Langkawi : Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berdepan pertandingan lima penjuru di kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) berusia 97 tahun itu bertanding atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sekali gus adalah calon tertua yang bertanding pada pilihan raya umum kali ini.
Dr Mahathir akan ditentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Armishah Siraj; calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd Suhaimi Abdullah; calon Pakatan Harapan (PH), Zabidi Yahya dan calon Bebas, Datuk Abdul Kadir Sainudin.
Beliau akan mempertahankan kerusi itu selepas memenanginya pada PRU-14 atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 8,893 undi.
Pengumuman rasmi pencalonan mereka dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Langkawi, Datuk Abdul Gafar Yahya, pada 10.30 pagi.
Terdahulu, Armishah (BN) menjadi calon terawal selesai menyerahkan borang pencalonan pada 9.01 pagi, diikuti Dr Mahathir (9.03 pagi), Abdul Kadir dan Mohd Suhaimi (9.08 pagi) serta Zabidi (9.11 pagi).
Berdasarkan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 66,777 pengundi layak menjalankan tanggungjawab di Parlimen Langkawi pada PRU-15 ini.
Pada PRU-14 lalu, Dr Mahathir memperoleh 18,954 undi menewaskan Datuk Nawawi Ahmad (BN, 10,061 undi) dan Zubir Ahmad (Pas, 5,512 undi).
-Harian Metro