Kota Kinabalu : Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menyediakan 26 unit janakuasa bergerak yang setiap satunya akan ditempatkan di 26 pusat penjumlahan undi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di seluruh Sabah dan Labuan, esok.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir Idris Mohd Noor berkata, langkah itu bagi memastikan bekalan elektrik di semua pusat penjumlahan undi di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dalam keadaan stabil dan baik sepanjang proses penjumlahan undi dijalankan.
“SESB menyediakan sebanyak 26 janakuasa bergerak dan mudah alih yang ditempatkan di pusat penjumlahan undi sebagai pelan mitigasi untuk memastikan bekalan elektrik berterusan.
“Ia antara usaha SESB mahu memastikan proses pengundian dan penjumlahan undi PRU-15 berjalan dengan lancar dan tiada insiden gangguan bekalan elektrik yang boleh menjejaskan proses pilihan raya,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Pada masa sama, katanya seramai 500 anggota kerja SESB akan bertugas secara bergilir di semua pusat pembuangan dan penjumlahan undi esok.
Selain itu, mereka juga bersedia di bilik gerakan yang sudah diaktifkan di ibu pejabat syarikat itu di Wisma SESB.
-Harian Metro