Kuala Lumpur : Tindakan individu menurunkan bendera parti Pakatan Harapan (PH) di hadapan Muzium Negara, di sini, kerana pemasangan bendera itu menutup pagar bahagian hadapan muzium berkenaan.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 34 saat memaparkan seorang lelaki sedang menurunkan bendera parti di hadapan Muzium Negara yang tular di media sosial, semalam.
“Seorang individu didapati merakam kejadian itu dan menularkan video berkenaan di media sosial tanpa bertanyakan tujuan lelaki itu menurunkan bendera terbabit.
“Lelaki dalam video itu adalah ejen pemantau PH yang bertindak menurunkan bendera berdasarkan arahan dikeluarkan oleh Ketua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) P121-01 bersama wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) PP-KPR Lembah Pantai.
“Arahan ini dikeluarkan selepas perbincangan dibuat dengan wakil calon kerana pemasangan bendera itu menutup pagar bahagian hadapan Muzium Negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan sebarang video atau apa-apa maklumat sebelum membuat semakan mengenai kesahihannya.
“Tindakan tidak bertanggungjawab itu boleh mengganggu gugat ketenteraman awam. Orang ramai juga diingatkan supaya tidak melakukan sebarang perbuatan bercanggah dengan undang-undang dan bagi memelihara keamanan semasa dalam tempoh berkempen.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999, Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979268 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
-Harian Metro