KUALA BERANG : Empat daripada 15 Cawangan BERSATU Bahagian Hulu Terengganu ditutup dengan ahli jawatankuasa cawangan berkenaan berikrar menyokong calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ia membabitkan Cawangan Kampung Bukit Apit, Felda Mengkawang, Pengkalan Ajal dan Kampung Payang Kayu.
Antara pemimpin yang berikrar menyokong Datuk Rozi Mamat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong di kerusi Parlimen Hulu Terengganu adalah bekas Setiausaha BERSATU Bahagian Hulu Terengganu, Zamani Mamat dan Ketua BERSATU Cawangan Pengkalan Ajal, Alias Abdullah.
Zamani yang pernah bertanding atas tiket PKR di kawasan Dewan Undangan negeri (DUN) Ajil pada PRU14, berkata tindakan keluar parti dan membubarkan cawangan BERSATU dilakukan atas kesedaran hanya BN mampu menstabilkan kemakmuran negara.
“Sebelum memutuskan membubarkan cawangan dan menyertai BN, kami sudah membuat penilaian kepemimpinan penyandang kerusi Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid sepanjang empat tahun menerajui parti.
“Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna adalah pemimpin yang baik, tapi kesilapan besar dilakukan adalah tidak setia kepada perjuangan BN,” katanya kepada media pada program pengisytiharan bekas pimpinan BERSATU menyertai BN, di Kampung Pengkalan Ajal, di sini, hari ini.
Yang turut hadir Rozi yang juga Ketua Bahagian UMNO Hulu Terengganu.
Zamani berkata, BERSATU Bahagian Hulu Terengganu tidak mempunyai keahlian ramai disebabkan parti itu tiada pendirian selepas memutuskan bergabung dengan PAS untuk menghadapi PRU15.
Sementara itu, Alias mengesahkan terpaksa membubarkan Cawangan BERSATU kerana hilang keyakinan kepada Rosol.
“Kami lebih yakin kemampuan Rozi untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada seluruh pengundi di Parlimen Hulu Terengganu.
“Kami kagum dengan kemampuan Rozi yang muncul sebagai pemimpin pertama menghulurkan bantuan kepada penduduk tanpa mengira fahaman politik ketika banjir luar biasa melanda Hulu Terengganu Februari lalu,” katanya.
Alias berkata, BERSATU di Parlimen Hulu Terengganu sebenarnya hanya gah pada nama, tetapi tidak mempunyai ahli di peringkat akar umbi.
-Berita Harian