ALOR SETAR – Ketua Pemuda Pas Sik, Mohd. Shahiful Mhd. Nasir memohon maaf atas keterlanjuran katanya dengan menyatakan sesiapa mengundi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Permohonan maaf tersebut dibuat menerusi satu video ringkas berdurasi 34 saat yang dipaparkan di laman media sosial Facebook Pemuda Pas Sik, hari ini.
Mohd. Shahiful mengakui perkara berkaitan syurga dan neraka tidak ditentukan hanya kepada penyokong BN dan PH, sebaliknya melibatkan secara umum yang melakukan kebaikan atau kejahatan.
“Saya ingin memohon kemaafan kepada semua pihak yang telah tersinggung dengan ucapan yang telah tular sebelum ini.
“Saya sekali lagi ingin memohon maaf kepada semua atas kekhilafan disampaikan. Semoga Allah ampunkan dosa kita semua,” katanya.
Video tersebut turut dimuat naik dengan status Facebook yang meminta semua pihak agar menghentikan segala bentuk sebaran klip video ceramahnya sebelum ini.
Ia bagi menjamin keharmonian selain memastikan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bebas daripada isu perkauman dan agama yang melampau.
Dalam status sama, beliau turut menegaskan bahawa apa saja tindakan yang cenderung terhadap kemungkaran dilakukan sesiapa pun, tetap merupakan perkara yang salah dan wajib ditegah.
Menerusi petikan siaran secara langsung ceramah PN di Unit Daerah Mengundi (UDM) Bendang Man dekat Sik baru-baru ini, Mohd. Shahiful terlebih dahulu mengingatkan kalangan pengundi agar mengundi PN.
“Siapa pangkah BN dan PH, masuk ‘pi’ neraka,” katanya.
Susulan penyebaran klip video tersebut, Mohd. Shahiful dikecam pelbagai pihak yang tidak berpuas hati dengan kenyataannya itu.
-Kosmo Online