SUNGAI SIPUT – Keputusan penggabungan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi membentuk kerajaan hanya boleh diputuskan di peringkat Majlis Tertinggi (MT) parti dan bukannya secara bersendirian.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pandangan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan semalam yang menyatakan keyakinan bahawa kedua-dua parti itu akan bergabung selepas PRU15.
Beliau berkata, keputusan untuk bergabung atau tidak hanya akan difikirkan selepas PRU15 selesai dilaksanakan dengan BN dapat membentuk kerajaan.
“Yang pasti apa yang saya sebut di Sarawak semalam, kita pasti akan mewujudkan gabungan bersama parti dari Sabah dan Sarawak.
“Kita tak boleh pisah dengan Sabah dan Sarawak. Mereka mesti menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Takiyuddin semalam menyatakan bahawa PN yakin dapat membentuk kerajaan hasil gabungan dengan parti lain terutamanya BN selepas PRU15.
Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu masih belum dibincangkan namun yakin BN akan menerima cadangan penggabungan tersebut.
-Kosmo Online