PARIT BUNTAR : Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Mujahid Yusuf Rawa mengisytiharkannya harta bernilai lebih RM2.5 juta.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Penyandang kerusi daripada AMANAH itu berkata pengisytiharan dibuat sebagai menyahut seruan Pengerusi PH, Anwar Ibrahim yang menggesa semua pemimpin PH mengisytiharkan harta masing-masing.
“Nilai aset saya mengambil kira faktor aset tidak boleh alih dan boleh alih.
“Keseluruhan aset dan simpanan tunai saya adalah sebanyak RM2,538,930.50,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Parit Buntar, hari ini.
Mujahid yang juga Naib Presiden AMANAH berkata hartanah adalah aset terbesar membabitkan nilai RM2.032 juta diikuti kenderaan RM251,700 , simpanan tunai RM153,587 serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM96,000.
“Malulah nak bandingkan dengan orang lain, aset saya cuma RM2.5 juta, orang lain sampai berpuluh-puluh juta, saya sikit sahaja.
“Aset hartanah membabitkan dua kondominium di Teluk Kumbar Pulau Pinang dan Duta Park Kuala Lumpur (dalam pembinaan) dan sebuah kediaman di Jalan Permai, Parit Buntar dengan nilai keseluruhan RM2.032 juta,” katanya.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata pendapatan bulanannya bersama isteri adalah sebanyak RM22,000 dan jumlah tanggungan bulanan adalah RM17,000.
Katanya, simpanan emas yang dimilikinya hanya RM5,000 manakala simpanan di Tabung Haji (TH) hanya RM643.
-Berita Harian