KUALA LUMPUR : Pengundian bagi kerusi Parlimen Padang Serai ditangguhkan berikutan kematian seorang calonnya.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Semakan di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), MySPR Semak turut mendapati pautan bagi kerusi P017 Padang Serai sudah dikeluarkan daripada laman web itu.
Sementara itu, sebuah portal berita juga melaporkan, pengundi Padang Serai yang menyemak rekod pengundian di laman web sama turut dimaklumkan mengenai mesej penangguhan itu.
Ia antara lain memaparkan notis berbunyi: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi P017 Padang Serai ditangguhkan kerana kematian calon.
Parlimen Padang Serai sepatutnya menyaksikan pertandingan enam penjuru antara penyandang kerusi berkenaan, M Karupaiya dari Pakatan Harapan (PH) ditentang Hamzah Abd Rahman (PEJUANG), Datuk Sivaraj Chandran (BN), Azman Nasrudin (PN), Mohd Bakhri Hashim (WARISAN) dan calon bebas, Ananda AK.
M Karupaiya, 69, meninggal dunia di Hospital Kulim kelmarin, dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata mendiang adalah penyandang kerusi Parlimen Padang Serai yang dimenanginya buat kali pertama pada PRU Ke-14.
SPR dijadual mengadakan mesyuarat khas pagi ini bagi membincangkan penetapan tarikh penting urusan PRU15 Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.017 Padang Serai.
-Berita Harian