Kuching : Sarawak bakal menjadi pengeksport utama bekalan tenaga elektrik di Asia Tenggara selepas berjaya membekalkan tenaga ke Kalimantan, Indonesia sejak 2016.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkata, kini Sarawak sedang berusaha untuk mengeksport tenaga ke Sabah yang disasarkan bermula pada 2024.
Menurutnya, pengeksportan bekalan tenaga elektrik ke negeri jiran itu kini masih lagi dalam peringkat rundingan komersil.
“Pembekalan elektrik sebanyak 30 megawatt (MW) ke Sabah Electricity Sdn. Bhd (SESB) disasarkan pada 2024 namun ia bergantung kepada siapnya projek Northern Grid Extension,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Julaihi berkata, pengeksportan tenaga elektrik ke Sabah itu selaras dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi pusat kuasa tenaga di Asia Tenggara menjelang 2030.
“Sarawak menerusi Sarawak Energy Berhad (SEB) membekalkan elektrik ke Kalimantan sejak 2016 dengan purata permintaan bekalan elektrik sehingga September 2022 adalah 89.6MW,” katanya.
Menurutnya, jumlah tenaga elektrik yang diesksport ke negara jiran itu hanya meliputi dua peratus daripada kapasiti tenaga elektrik sedia ada di Sarawak yang berjumlah 5,996MW.
“Penggunaan tenaga elektrik di Sarawak ketika ini pula adalah berjumlah 4,398MW, justeru Sarawak kini masih mempunyai baki tenaga elektrik sebanyak 1,478MW yang mencukupi untuk kegunaan dan keperluan dalam negeri.
“Ia termasuk untuk kegunaan penyambungan di bawah Skim Dana Pemohon Tambahan atau Lewat (ALAF) yang sedang dan masih dilaksanakan sekarang,” katanya.
ALAF adalah program penyambungan tenaga elektrik untuk individu tercicir daripada Skim Elektrik Luar Bandar (RES) dan mereka yang membeli rumah selepas RES dilaksanakan.
Bagaimanapun, Julaihi berkata, jumlah penggunaan dianggarkan akan meningkat ke 4,680MW pada tahun 2023 dan 5,000MW pada 2025.
“Bagi memenuhi permintaan bekalan elektrik yang semakin meningkat, stesen-stesen jana kuasa baharu yang sedang dalam perancangan dan dalam pembinaan dengan jumlah kapasiti 2,577MW.
“Stesen terbabit ialah Combined Cycle Gas Turbine (CCGT) di Miri berkapasiti 400MW; CCGT di Samalaju berkapasiti 842MW; Sistem solar terapung di Empangan Batang Ai berkapasiti 50MW dan Empangan Baleh berkapasiti 1,285MW.
“Stesen-stesen jana kuasa ini dijangka siap antara 2023 hingga 2028,” katanya.
Sarawak kini memiliki tiga stesen penjana tenaga hidroelektrik iaitu Empangan Hidro Batang Ai di Sri Aman, Empangan Hidro Bakun dan Empangan Hidro Murum, kedua-duanya di Belaga dalam Bahagian Kapit manakala satu lagi masih dalam pembinaan iaitu Empangan Hidro Baleh, juga di Kapit.
-Harian Metro