PORT DICKSON: Seorang suri rumah berusia 60 tahun terpedaya dengan tawaran pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan faedah yang lumayan.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Wanita berkenaan diperdaya dalam tempoh yang singkat sehingga mengakibatkan kerugian berjumlah RM476,100 yang dimasukkan dalam dua akaun bank tempatan.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pada 3 Oktober lalu, mangsa menerima pesanan dari Facebook Massenger yang tidak dikenali yang menawarkan buku pengurusan kewangan secara percuma.
“Mangsa dipercayai menekan pautan link WhatsApp yang diberikan dan dia dimasukkan ke dalam sebuah kumpulan WhatsApp atas nama ‘Perbincangan Keluarga’.
“Wanita ini juga diminta memuat naik aplikasi ‘Forza’ untuk membuka akaun simpanan dan dijanjikan akan mendapat faedah dari simpanan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini tadi.
Melalui aplikasi itu, beliau berkata, mangsa perlu memasukkan wang ke dalam nombor akaun bank yang diberikan oleh ‘admin’ kumpulan WhatsApp dan memuat naik slip pembayaran itu di dalam aplikasi tersebut.
“Mangsa terus membuat simpanan wang dalam aplikasi tersebut dengan membuat 17 transaksi kemasukan wang dari tarikh 1 November hingga 17 November lalu dengan jumlah sebanyak RM476,100 ke dalam dua akaun bank tempatan atas nama syarikat yang berbeza.
“Dia mengaku menggunakan wang simpanan sendiri dan anak serta pinjaman daripada rakan-rakan,” ujarnya.
Aidi Sham berkata, mangsa cuma dimaklumkan jika mangsa membuat simpanan di dalam akaun aplikasi tersebut, mangsa akan mendapat pulangan.
“Mangsa kemudiannya dapati akaun simpanan aplikasi Forza miliknya disekat apabila mahu keluarkan wang faedah dan diminta masukkan lagi wang sebanyak RM427,200.
“Menyedari mungkin sudah tertipu, mangsa tidak membuat apa-apa lagi kemasukan wang kerana mula menyedari sudah diperdaya dan hadir ke Balai Polis Telok Kemang, Port Dickson untuk membuat laporan polis semalam,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu ‘Tipu’ yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan.
Tambahnya, dalam usaha pihak polis bagi mencegah penipuan sebegini daripada terus berleluasa, orang ramai diminta untuk mengambil beberapa langkah pencegahan.
“Orang ramai jangan mudah percaya kepada tawaran-tawaran pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan faedah yang lumayan dalam tempoh yang singkat.
“Membuat semakan dengan agensi kerajaan berkaitan bagi mengetahui status SKIM pelaburan dan syarikat yang menawarkan pelaburan,” katanya.
BHonline-