TOKYO: Dua mahkamah di Tokyo terpaksa dikosongkan dan sesi perbicaraan ditangguhkan selepas menerima ancaman bom, hari ini, menurut Xinhua memetik laporan media tempatan.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Penyiar awam Jepun, NHK melaporkan Mahkamah Tinggi Tokyo membatalkan perbicaraan dan memindahkan pelawat selepas seseorang mengugut untuk meletupkan bangunan kerajaan itu kira-kira jam 1.30 tengah hari waktu tempatan.
Bangunan itu terletak di tengah Tokyo, bersama Mahkamah Tinggi, yang turut menempatkan Mahkamah Daerah Tokyo.
Akses ke bangunan berkenaan ditutup hingga polis dirujuk, lapor media tempatan.
Susulan itu, perbicaraan yang sepatutnya berlangsung pada tengah hari tadi, ditangguhkan ke sebelah petang atau dijadualkan semula pada hari lain, kata mahkamah.
Antara sesi dijadualkan hari ini ialah keputusan Mahkamah Tinggi membabitkan persoalan berhubung perbezaan besar undi pada Pilihan Raya Parlimen, Julai lalu.
Terdahulu, Agensi Perkhidmatan Imigresen Jepun menerima e-mel pada jam 3.25 pagi waktu tempatan yang menyatakan: ‘Saya akan meletupkan Mahkamah Daerah Tokyo pada jam 1.34 tengah hari waktu tempatan Isnin’, kata polis tempatan sambil memaklumkan terdapat nama seorang lelaki dalam mesej itu.
Polis berkata, bomba tempatan menerima ancaman serupa melalui e-mel, seperti yang dilaporkan media tempatan.
Bernama-