PONTIAN : Tiada keperluan untuk mana-mana pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) termasuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan susulan prestasi buruk parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ikuti Mynewshub: Telegram
Sebaliknya, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata semua pihak termasuk pucuk pimpinan parti, bahagian dan cawangan perlu muhasabah diri dan merapatkan kembali hubungan, susulan kekalahan dalam PRU15.
“Kalau hendak disuruh letak jawatan, ramai yang perlu letak jawatan. Ini termasuklah ketua-ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang kalah teruk iaitu mencecah lebih 7,000 PDM seluruh negara.
“Selain itu, semua pengerusi perhubungan UMNO dan BN negeri, ketua pemuda, ketua wanita dan ketua puteri yang tidak dapat tarik pengundi muda juga perlu letak jawatan.
“Maka berapa ramai yang perlu letak jawatan. Oleh itu, jangan ada sesiapa pun yang letak jawatan, sebaliknya kita semua perlu muhasabah atas apa yang telah berlaku pada PRU15,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis doa selamat dan dialog bersama akar umbi UMNO di Benut, hari ini.
Dalam keputusan PRU15 yang diumumkan minggu lalu, BN hanya menang di 30 kerusi Parlimen, jumlah kerusi lebih rendah berbanding dicapai mereka pada PRU ke-14.
Pada PRU14 lalu, UMNO dilaporkan menang di 54 kerusi Parlimen.
Berdasarkan keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) beberapa kerusi yang dimenangi UMNO dalam PRU14 lalu, tewas dan beralih ke Perikatan Nasional (PN).
Dalam pada itu, Ahmad yang menang kerusi Parlimen Pontian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), menyarankan supaya setiap bahagian UMNO di seluruh negara menganjurkan sesi penerangan dan dialog bagi memberikan penjelasan keputusan BN menyertai Kerajaan Perpaduan selain isu semasa parti.
“Kita secara berterus terang perlu menyatakan apa yang patut dikatakan, maka kita berani berdialog dan bersemuka. Saya harap sesi penerangan seumpama ini dapat dilakukan UMNO Bahagian seluruh negara.
“Elok sekiranya sesi penerangan ini diadakan hujung minggu depan apabila kabinet sudah ditubuhkan. Kenyataan media Setiausaha Agung BN dan Setiausaha Agung UMNO boleh dijadikan sebagai bahan rujukan taklimat sesi penerangan,” katanya.
-Berita Harian