LIPIS: Seorang warga emas, Ab Lah Mat Isa rugi RM20,000 apabila tujuh ekor lembu ternakannya mati dipanah petir di Kampung Serunai, Mela dekat sini petang semalam.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ab Lah, 69, berkata, kejadian itu berlaku pukul 7 petang ketika hujan lebat diikuti petir di kampung tersebut.
“Ketika mahu mengambil wuduk untuk solat Maghrib, saya tidak sedap hati bimbang keselamatan lembu yang dilepaskan.
“Sebaik solat Subuh pagi tadi, seorang penduduk yang kebetulan melalui kawasan kandang lembu saya menghubungi dan memberitahu lembu-lembu saya mati,” katanya di Kampung Serunai, Mela di sini hari ini.
Menurut Ab Lah, dia bergegas ke kandang dan terkejut apabila menemukan bangkai lembu bergelimpangan tidak jauh antara satu sama lain.
Warga emas yang juga pesara guru agama itu berkata, kemungkinan tujuh ekor lembu yang mati berkumpul sambil berlindung di bawah pokok ketika hujan lebat.
“Kejadian malang ini adalah pertama kali berlaku sejak saya mengusahakan ternakan lembu 20 tahun lalu,” katanya.
Kata Ab Lah, kebiasaannya setiap petang dia akan pergi ke kandang untuk melihat dan mengawal ternakannya supaya tidak berkeliaran jauh dari kawasan lain, tetapi pada petang semalam dia tidak ke situ kerana hujan lebat.
UtusanOnline-