Dua pemimpin Wanita Umno di peringkat kawasan digantung oleh ibu pejabat parti itu hari ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata langkah tersebut dibuat selepas parti terbabit mendapati dua pemimpin berkenaan memberikan sokongan kepada calon lawan dalam PRU kali ini.
Kata Ahmad, ketua Wanita Umno yang digantung keanggotaan mereka ialah Shamsiah Yasin dan Fatimah Kassim.
Shamsiah ialah ketua Wanita Arau manakala Fatimah menjawat jawatan sama bagi kawasan Maran.
“Butiran lanjut dan pertuduhan akan dibuat dalam masa terdekat apabila aduan ke atas kedua-dua mereka dikemukakan kepada Lembaga Disiplin Umno tidak lama lagi,” katanya.
Untuk rekod penyandang kerusi parlimen dari Umno bagi kawasan Arau dan Maran kali ini tidak dicalonkan oleh parti terbabit untuk memberi laluan kepada muka baru.
Mereka ialah bekas menteri, Shahidan Kassim, dan Ismail Abd Muttalib.
Bagaimanapun kedua-dua mereka kemudian menjadi calon kepada PN di kawasan sama.
Ahmad berkata penggantungan berkenaan dibuat selaras dengan Fasal 10.15 Perlembagaan Umno.
“Umno menerima aduan sahih berkenaan tingkah laku, sikap dan kecenderungan kedua-dua ketua Wanita Umno terbabit secara langsung atau tidak langsung menyokong calon parti lawan,” katanya.
Ahmad juga memberi peringatan kepada ahli Umno bahawa parti itu terus memantau tindak-tanduk mereka bagi memastikan tiada unsur sabotaj dilakukan ke atas calon atau parti.
-Malaysia Kini