MANILA: Sekurang-kurangnya 67 individu maut akibat penyakit taun kronik di Filipina sejak Januari lalu, dengan kes jangkitan wabak itu mencatat peningkatan 282 peratus berbanding tahun lalu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Jabatan Kesihatan (DOH) Filipina merekodkan 5,860 kes penyakit itu sejak Januari sehingga 26 November lalu, dengan peningkatan berkenaan dikaitkan dengan insiden bencana alam yang kerap melanda negara itu.
Taun atau kolera adalah penyakit jangkitan bakteria Vibrio cholerae pada usus kecil yang menyebabkan cirit birit yang teruk serta mendadak yang mana ia banyak serta cair selain berbau busuk dan menyamai air basuhan beras.
Antara gejala lain adalah kadar nadi dan degupan jantung yang laju, kulit kering, terlalu dahaga, kurang kencing, kekejangan abdomen, loya dan lain-lain. Gejala muncul beberapa jam hingga lima hari selepas terdedah kepada jangkitan.
Dalam tempoh itu, wilayah Visayas di tengah Filipina mencatat jumlah kes tertinggi dengan lebih 3,600 kes, disusuli Davao di selatan negara itu yang mencatat lebih 800 kes, serta Luzon Tengah yang merekodkan lebih 300 kes.
DOH Filipina memaklumkan, semua 67 kematian yang direkodkan sejak Januari lalu adalah peningkatan sebanyak 0.8 peratus berbanding tahun lalu, lapor agensi berita Xinhua.
Jurucakap DOH Filipina, Maria Rosario Vergeire, berkata jabatan itu juga sedang memperkukuhkan pemantauan dan sistem tindak balasnya susulan lonjakan kes kolera di seluruh negara itu.
“DOH sedang berusaha untuk menambah baik sistem penyampaian bagi mengurangkan impak bencana alam terhadap kesihatan penduduk negara ini,” katanya.
Vergeire berkata, DOH Filipina turut mengerahkan petugas ke kawasan yang mencatat jumlah kes taun tinggi bagi memastikan pesakit memiliki akses pada rawatan dan air minuman bersih, sekali gus mengurangkan jumlah angka kematian.
Filipina adalah antara negara di dunia yang paling terdedah pada bencana alam kerana kedudukan geografinya, dengan Bank Dunia memaklumkan Filipina berdepan taufan yang amat memusnahkan hampir setiap tahun sejak 10 tahun lalu.
Penyakit taun adalah penyakit yang dicetuskan oleh pengambilan makanan atau minuman yang tercemar. Taufan dan bencana alam lain seperti gempa bumi, banjir dan tanah runtuh, kerap memusnahkan sumber air kawasan perkampungan.
BHonline-