Berikut penerangan serba ringkas buat mereka yang masih belum mengetahui jenis sistem percukaian yang sedang dipratikkan di negara ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Malaysia sejak berpuluh tahun lalu telah mengguna pakai Sistem Taksir Sendiri (STS) bagi menggantikan Sistem Taksiran Formal (STF).
STS untuk individu bergaji, perniagaan dan perkongsian dilaksanakan bermula tahun 2004, manakala STS bagi syarikat dilaksanakan mulai tahun taksiran 2001.
Menerusi STS, pembayar cukai diberi kepercayaan untuk menaksir sendiri cukai mereka berbanding LHDNM telah menetapkan nilai cukai mereka.
Melalui pelaksanaan STS, pembayaran cukai adalah berdasarkan konsep `bayar’ `taksir sendiri’ dan `fail’ seperti yang anda saksikan pada hari ini.
Pertama, pembayar cukai akan `bayar’ cukai mereka melalui potongan gaji bulanan berdasarkan kiraan anggaran yang ditetapkan.
Kedua, pembayar cukai dikehendaki `taksir sendiri’ cukai pendapatan mereka menggunakan Borang Nyata (BN) pada tempoh ditetapkan.
Ketiga, pembayar cukai dikehendaki mengemukakan sendiri BN (`fail’) kepada LHDNM untuk semakan dan penentuan.
Penentuan sama ada bayaran baki cukai pendapatan terkurang atau anda layak menuntut bayaran balik jika didapati telah terlebih potongan bulanan.
Antara manfaat STS adalah mengurangkan beban kerja pentadbiran cukai, mempercepat pemprosesan penghantaran borang dan meningkatkan tahap pematuhan.
STS meningkatkan tahap pematuhan kerana sejak ia diperkenalkan, audit cukai telah menjadi salah satu aktiviti utama LHDNM sehingga hari ini.
-Mynewshub