PUTRAJAYA : Pelaksanaan pendidikan sekolah satu aliran jika mendapat sokongan kalangan bukan Melayu boleh disifatkan sebagai tanda awal kejayaan Kerajaan Perpaduan, kata EXCO Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Beliau berkata, atas harapan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa dapat meyakinkan kaum lain supaya menerima pendidikan sekolah satu aliran di negara ini.
“Ini langkah awal yang menjurus kepada kejayaan Kerajaan Perpaduan sekiranya ingin hubungan sesama kaum kembali baik demi mencapai kemakmuran yang mutlak di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ia senada dengan kenyataan Pengerusi Biro Pendidikan Majlis Perundingan Melayu (MPM), Prof Emeritus Tan Sri Ibrahim Abu Shah, semalam, yang berharap Anwar dapat menggunakan pengaruh kuatnya untuk mengajak kalangan bukan Melayu bersetuju dengan sistem pendidikan satu aliran.
Ibrahim berkata, hanya Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mampu memujuk bukan Melayu dan menyelesaikan masalah berkenaan.
Selain itu, Muqharabbin berkata, Perdana Menteri juga perlu bersikap tegas
dan tidak menerima permohonan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) supaya Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC) diiktiraf.
“Kerajaan ini masih baharu dan setiap langkah dan keputusan diambil kerajaan, sekiranya silap, pasti akan merosakkan kerjasama yang baru terjalin,” katanya.
Beliau juga menggesa kepimpinan DAP dapat mengubah dasar parti mereka sebahagiannya supaya mengikut Perlembagaan negara dan menghormati kedaulatan undang-undang negara.
“Sekiranya ingin terus kerajaan dan hubungan ini lebih baik, perlu ada kesepakatan yang matang dan bertolak ansur sesama parti,” katanya.
Sementara itu, menyentuh kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PH, beliau menyerahkan segala-galanya kepada keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan BN untuk memutuskan.
“Tambahan pula pemilihan parti tidak sampai enam bulan. Sekiranya ingin menukarkan kepada kepimpinan yang baharu, saya berharap apa juga keputusan nanti, hendaklah memikirkan kelangsungan parti, mendengar suara akar umbi dan paling utama rakyat dapat menerima pemimpin yang dipilih nanti,” katanya.
-Berita Harian