Alor Setar : Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, awal bulan lalu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Tertuduh berusia 56 tahun membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang juga bapa kepada lima anak, didakwa dengan maksud seksual memegang dada kanak-kanak yang memiliki hubungan persaudaraan dengannya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 8.40 malam di sebuah rumah di Mukim Guar Kepayang, Pendang, pada 10 Disember lalu.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Syaliati Mohd Sobri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Nor Syaliati memohon mahkamah menetapkan kadar jaminan RM15,000 ke atas tertuduh.
Bagaimanapun, tertuduh memohon kadar jaminan dikurangkan berikutan dia hanya bekerja sebagai buruh dan isterinya pula adalah petani malah mereka perlu menanggung lima anak.
Mahkamah menetapkan jaminan RM13,000 dengan seorang penjamin terdiri daripada ahli keluarganya sendiri.
Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan supaya tidak mengganggu mangsa.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Januari depan.
Sementara itu, tertuduh sehingga tengah hari ini, masih gagal membayar wang jaminan ditetapkan dengan dia dijangka dibawa ke Penjara Pokok Sena sekiranya gagal membayar jaminan sebelum jam 3 petang ini.
-Harian Metro