NEW DELHI: India melancarkan vaksin COVID-19 secara titisan hidung dalam usaha meningkatkan kadar vaksinasi penduduk negara itu sebagai persediaan berdepan sebarang kemungkinan susulan lonjakan kes coronavirus di China.
Ikuti Mynewshub:Â Telegram
Vaksin yang dikenali sebagai iNCOVACC itu mula dibuka untuk tempahan melalui portal vaksin India, CoWIN, sejak Sabtu lalu dan dijangka diberikan kepada orang ramai mulai minggu akhir Januari.
Teknologi itu dibangunkan oleh firma vaksin India, Bharat Biotech, dengan kerjasama beberapa saintis dari Universiti Washington di St Louis, Amerika Syarikat (AS).
Kaedah menggunakan vaksin itu adalah dengan menitiskan sebanyak 0.5 mililiter (ml) pada kedua-dua belah bahagian lubang hidung penerima vaksin, membabitkan lapan titisan.
Ia akan diberikan sebagai vaksin dos penggalak kepada mereka yang berusia 18 tahun ke atas dengan harapan inisiatif vaksin tanpa jarum itu dapat membantu meluaskan liputan imunisasi dalam kalangan rakyat India.
Bharat Biotech mendaftarkannya sebagai vaksin titisan hidung pertama di dunia, dan ia sudah diluluskan untuk kegunaan kecemasan pada awal September lalu.
Namun, pada masa sama, China turut meluluskan penggunaan vaksin secara sedutan pertama di dunia, Convidecia Air.
Dos akan dikeluarkan melalui semburan udara daripada alat penyembur yang kemudiannya disedut melalui mulut.
China juga menggunakan vaksin secara titisan hidung iaitu VectorFlu One, yang disembur terus ke dalam lubang hidung.
Iran dan Russia juga melancarkan vaksin hidung COVID-19 sebelum ini.
Vaksin melalui titisan hidung itu adalah bagi menghasilkan tindak balas perlindungan di saluran pernafasan pada bahagian atas, yang juga tempat serangan pertama COVID-19.
Namun, terdapat persoalan mengenai keberkesanannya jika dibandingkan dengan vaksin yang disuntik.
Jurucakap Bharat Biotech berkata data mengenai keberkesanan vaksin itu sudah diserahkan kepada kerajaan dan akan diterbitkan melalui jurnal selepas ini.
Sementara itu, India mula meningkatkan pengawasan membabitkan ujian secara rawak terhadap dua peratus penumpang antarabangsa yang tiba ke negara itu sejak Sabtu lalu.
Negara itu juga mewajibkan laporan ujian negatif COVID-19 untuk pelancong dari China, Jepun, Korea Selatan, Hong Kong dan Thailand, selain meminta setiap negeri menyusun semua kes positif yang dilaporkan serta ‘memerhatikan’ varian baharu.
Selasa lalu, latihan diadakan di hospital di beberapa buah negeri di China untuk menilai sama ada mereka boleh menangani potensi lonjakan kes.
Langkah berjaga-jaga itu dilakukan ketika kebimbangan semakin meningkat terhadap sebarang kemungkinan kesan buruk ekoran virus kini merebak tanpa kawalan di China, termasuk kemunculan varian baharu.
Isnin lalu, Persatuan Perubatan India menggesa kerajaan mempertimbangkan penyediaan vaksin dos keempat, terutama untuk kakitangan penjagaan kesihatan dan pekerja barisan hadapan.
Namun bagi golongan pakar, walaupun perkara itu masih terkawal, mereka tetap meminta persiapan awal sebagai langkah pencegahan.
Presiden Yayasan Kesihatan Awam India, Prof K Srinath Reddy, berkata semua pihak perlu sentiasa memerhati dan menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.
“Sekarang ini, keadaan tidak memerlukan lagi tindak balas bagi ancaman yang serius, tetapi kita mesti bersedia untuk meningkatkan tahap keselamatan jika keadaan berubah,” katanya.
Kira-kira 95 peratus daripada penduduk yang perlu menerima suntikan di India iaitu golongan berusia 12 tahun ke atas sudah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan, manakala 88 peratus sudah diberi vaksin sepenuhnya.
Bagaimanapun, peratusan bagi pengambilan dos penggalak adalah rendah iaitu hanya kira-kira 28 peratus saja daripada kumpulan penduduk yang layak dilindungi.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak memandang ringan langkah penjagaan termasuk memakai pelitup muka.
BHonline-