KUALA SELANGOR : Pengusaha tapak pesta yang mengakibatkan tiga cedera di Bandar Puncak Alam di sini dikesan masih berdegil untuk meneruskan operasinya biarpun arahan sitaan dikeluarkan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).
Ikuti Mynewshub: Telegram
Yang Dipertua MPKS, Rahilah Rahmat berkata, pihaknya menjalankan sitaan itu sejak 29 November lalu selepas permit operasi tidak diluluskan, namun, dikesan beroperasi secara haram dan turut tiada kebenaran polis serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
“Pengusaha itu memang ada membuat permohonan permit dengan MPKS, namun, kita tidak meluluskannya dan menyitanya.
“Namun, pihak berkenaan masih berdegil untuk beroperasi bermula 10 Disember lalu (Sabtu) sehingga menyebabkan berlaku insiden malang tersebut,” katanya ketika ditemui selepas meninjau tapak pesta itu, hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati seluruh kawasan itu sudah ditutup sepenuhnya dan diletakkan pita sitaaan MPKS.
Jelas Rahilah, pihaknya turut menyerahkan notis kompaun kepada pengusaha tapak pesta itu mengikut Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Selangor 1995.
“Kesalahan itu memperuntukkan denda maksimum RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan. Pesta ria itu turut diarahkan tutup dan tidak boleh beroperasi sepenuhnya,” ujarnya.
Tegas beliau lagi, pengusaha itu hanya mendapat kebenaran daripada pemilik tapak atau tanah, namun, bukannya MPKS.
“Justeru, kita menasihatkan semua pihak mematuhi arahan ditetapkan dan tidak beroperasi tanpa permit sah seumpama itu. Insiden malang itu dapat dielak sekiranya arahan berkenaan dipatuhi sejak awal ketika sitaan dilakukan,” jelasnya.
Terdahulu, suasana di tapak pesta itu gempar apabila tiga individu termasuk kanak-kanak cedera dalam insiden terjatuh daripada satu permainan, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8.50 malam.
Siasatan awal mendapati mangsa melibatkan seorang kanak-kanak dan dua wanita di kawasan permainan ‘Sotong Ride’. Kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan lanjut.
-Utusan Online