PETALING JAYA: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dijadual mengadakan sidang akhbar khas esok, dipercayai bagi menjawab pelbagai isu pendidikan yang menjadi kebimbangan ketika ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Dalam satu surat dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pendidikan bertarikh hari ini, sidang akhbar khas itu diadakan pada pukul 2.30 petang esok, bertempat di Dewan Serbaguna, Aras 9, Blok E12 di Kompleks E, Putrajaya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan pelbagai isu berkait pendidikan antaranya berkaitan saranan penjadualan semula tarikh kemasukan penggal baharu persekolahan kepada Januari berbanding Mac; sekolah daif; dan kepadatan murid serta kekurangan sekolah.
Turut mendapat perhatian sama adalah isu berkaitan capaian internet di sekolah; beban tugas guru; kekurangan guru dalam mata pelajaran penting dan pentaksiran murid tidak memuaskan yang didakwa berkaitan dengan silibus.
Selain itu, isu berkaitan beg berat dan kenaikan bayaran Rancangan Makanan Tambahan (RMT) juga menjadi isu yang membelenggu sektor pendidikan.
Dalam pada itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal sebelum ini meminta semua pihak untuk bersabar dan memberi sedikit masa kepadanya mendengar segala pandangan semua pihak termasuk pemegang taruh.
Beliau berkata, ia penting sebelum memutuskan sebarang tindakan berkaitan isu pendidikan kelak.
Katanya, ini kerana isu pendidikan melibatkan banyak pihak dan segala maklum balas pihak berkenaan perlu dalam memastikan sistem pendidikan negara berada di landasan tepat.
UtusanOnline-