KEMAMAN : Kerajaan akan meneliti semula Bajet 2023 dalam merangka bajet baharu yang merangkumi manifesto semua parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, urusetia khas bajet baharu akan mempertimbangkan manifesto parti-parti tersebut yang positif untuk dinilai dalam usaha menambah baik Bajet 2023 baharu itu.
Pada masa sama, menurutnya, kerajaan tiada halangan meneruskan beberapa kandungan Bajet 2023 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan sebelum ini.
Katanya, pada masa sama, terdapat beberapa penambahan lain juga akan dipertinbangkan dalam bajet baharu itu.
“Ada pelbagai parti dalam Kerajaan Perpaduan yang menjadikan dua pertiga. Majoriti parti-parti itu ada manifesto yang baik-baik untuk dilaksanakan.
“Ada dalam bajet yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan sebelum ini dan tiada halangan untuk meneruskannya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja di Pejabat Kastam Kemaman di sini, hari ini.
Ahmad memberitahu, beliau akan membincangkan hal-hal mengenai Bajet 2023 di pejabatnya pada 3 Januari depan.
Sementara itu, katanya, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan Bajet 2023 yang baharu pada 24 Februari depan.
“Tentunya perkara yang baik akan dibawa dalam Bajet 2023 dan kita serahkan kepada Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan untuk memutuskan apakah tema bajet itu dan kandungannya,” ujarnya.
Pada 7 Oktober lalu, Menteri Kewangan di bawah pimpinan kerajaan sebelum ini, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, bajet itu tidak sempat untuk dibahas dan diluluskan selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober.
Susulan pembubaran Parlimen, Bajet 2023 perlu dibentangkan semula di Dewan Rakyat secepat mungkin, bagi memastikan belanjawan mengurus kerajaan awal tahun depan diluluskan.
-Utusan Online