Alor Setar : Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan isu saman antara beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah hal peribadi yang tidak akan menjejaskan hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Katanya, beliau sedia berhadapan dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu di mahkamah namun, tidak menjadikan ia asbab hubungan kerajaan negeri dan Pusat menjadi renggang.
“Kes saman itu antara Anwar Ibrahim dengan Sanusi, sana kerajaan Malaysia sini kerajaan negeri. Kes saman tidaklah merenggangkan hubungan kerajaan negeri dan pusat.
“Jadi saya tidak meletakkan itu sebagai satu asbab kepada punca pemisahan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Sastera Darul Aman (Asda) 2022 di Ibu Pejabat Mada di sini, malam tadi.
Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah menyifatkan suatu tindakan tidak profesional sekiranya Anwar menggunakan isu terbabit untuk menganaktirikan Kedah.
“Tak perlu, itu hal dia dan saya, kalau dia ambil hal itu untuk menganaktirikan kita, saya rasa dia ‘koyak’ la. Panas tak pa, jangan koyak,” selorohnya.
Kelmarin, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun dilapor memfailkan saman terhadap Muhammad Sanusi berhubung ucapan berbaur fitnah dalam satu kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’.
Anwar, 75, yang juga plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah dengan menamakan Muhammad Sanusi, 48, sebagai defendan tunggal.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa pada 13 November lalu, Muhammad Sanusi telah memberi ucapan pilihan raya pada ceramah itu sebagai menyokong calon PN bagi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dengan ratusan pengunjung menghadiri ceramah itu.
Dakwa Anwar, ucapan dalam ceramah itu telah diterbitkan atau menyebabkan penerbitan semula dan disiarkan secara siaran langsung di aplikasi Facebook di bawah nama “Faizal Azumu” yang mendapat tontonan melebihi 88,000 kali, 531 reaksi, 58 kali perkongsian dan 384 komen, setakat tarikh pemfailan saman itu.
-Harian Metro