BUTTERWORTH: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengarahkan sebuah kontena mengandungi bahan buangan elektrik dan elektronik yang cuba dilupuskan di negara ini dihantar pulang ke Amerika Syarikat (AS) dalam pemeriksaan di Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBTC), di sini hari ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, tindakan itu diambil selepas kontena terbabit disita susulan disyaki membuat pengisytiharan tidak benar yang mana bahan buangan itu diikrar sebagai aloi aluminium.
Jelas beliau, pemeriksaan itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan SIRIM QAS International Sdn. Bhd. serta pegawai pelabuhan bertugas.
“Hasil pemeriksaan, kita menemukan 38 pelet di dalam kontena seluas 40 kaki (12 meter persegi) yang dimuatkan dengan buangan sekerap merangkumi papab litar tercetak (printed circuit board); ‘internal hard disk drive’; unit pemprosesan komputer (CPU) dan lain-lain komponen elektronik.
“Kesemua bahan ini dikategorikan sebagai buangan terjadual kod SW 110 (e-waste) Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, susulan itu JAS Pulau Pinang mengeluarkan satu notis arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada pengimport untuk pemulangan kontena tersebut ke negara asal.
Tegas beliau, sekiranya pengimport gagal berbuat demikian, tindakan mahkamah mengikut Seksyen 34B melibatkan denda maksima RM500,000 dan mandatori penjara maksimum lima tahun boleh dikenakan.
“Pengimport yang beralamat di Klang, Selangor ini turut boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 31 dan 37 bagi kesalahan gagal mematuhi notis sekiranya mengingkari arahan yang dikeluarkan.
“Pensampelan bahan bukti turut dibuat untuk siasatan lanjut,” katanya.
Tambahnya, pemprosesan secara haram boleh memberikan implikasi negatif kepada alam sekitar dan kesihatan terutama apabila majoriti bahan terbabit mungkin dihantar ke premis-premis tidak berlesen untuk pemprosesan secara haram atau lebih buruk jika dilupus secara dibakar atau ditanam.
Selain itu ujar beliau, pemprosesan secara haram tanpa alat kawalan boleh menyebabkan pelepasan bahan kimia berbahaya termasuk logam berat yang mencemar tanah, air dan udara.
“Sisa elektrik dan elektronik yang dihasilkan di Malaysia perlu dihantar dan diproses hanya di premis-premis yang dilesenkan oleh JAS sahaja,” katanya.
UtusanOnline-