TELUK INTAN: Bilangan mangsa banjir di Perak menurun sedikit kepada 108 orang membabitkan 27 keluarga di daerah Hilir Perak, Manjung dan Perak Tengah, setakat jam 4 petang tadi, berbanding 114 orang (29 keluarga) kira-kira dua jam sebelum itu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Berdasarkan laporan harian Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Perak, daerah Hilir Perak paling teruk terjejas dengan 74 mangsa banjir (18 keluarga) ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib.
Mereka adalah penduduk dari Lorong Mesra, Kampung Batu 7; Lorong Sidang Osman dan Lorong Kedah, Kampung Batu 8; Kampung Batu 9 serta Kampung Selat Manggis.
Di daerah Manjung, 28 mangsa banjir (tujuh keluarga) dari Kampung Padang Serai berlindung di PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai, manakala di Perak Tengah pula, enam orang (dua keluarga) ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Tersusun Teluk Memali.
Sementara itu, PPS Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Slim River di daerah Muallim ditutup secara rasmi pada jam 10 pagi tadi.
BHonline-