KOTA BHARU : Pas menegaskan parti itu tidak mempunyai masalah sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan serentak dengan negeri yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH).
Ikuti Mynewshub: Telegram
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun memaklumkan perkara berkenaan akan dibawa dan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Perikatan Nasional (PN).
“Secara peribadi saya berpandangan tiada masalah untuk kita mempertimbangkan pengundian di enam negeri berkenaan dibuat secara serentak.
“Ia akan memudahkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan orang ramai. Perkara ini akan kita bincangkan dengan lebih teliti dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PN,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih Tahun 2022 di sini hari ini.
Semalam media tempatan melaporkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyatakan enam negeri telah menyatakan kesediaan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara bersama bagi membolehkan PRN diadakan serentak.
Bagaimanapun persetujuan itu tertakluk kepada persetujuan di peringkat parti masing-masing dan tarikh sebenar PRN belum ditetapkan.
Enam negeri yang belum mengadakan PRN adalah Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
-Utusan Online