KUALA PILAH : Penduduk di Felda Kepis serta kawasan berdekatan di sini boleh menarik nafas lega apabila mereka boleh menggunakan kemudahan jalan lencongan sementara menggunakan turapan batu kerikil di laluan yang terjejas akibat tanah runtuh di Jalan Felda Kepis, di sini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerja-kerja pembinaan jalan lencongan sementara itu akan bermula esok.
Menurut beliau lagi, kerja-kerja mengukur dan penyiasatan tapak akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Kerja-kerja reka bentuk serta arahan kerja kepada kontraktor akan dikeluarkan selewat-lewatnya akhir bulan ini. Pembinaan dijangka bermula pada awal bulan Januari 2023 dan dijangka siap pada bulan Jun 2023,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya hari ini.
Beliau turut berkongsikan beberapa gambar lawatan turun padangnya ke kawasan runtuhan tersebut hari ini.
“Kejadian tanah runtuh yang berlaku amat meresahkan dan saya turun sendiri ke Kuala Pilah pagi tadi untuk melihat beberapa kawasan lain yang terjejas teruk.
“Hasil tinjauan dan pemeriksaan visual yang dijalankan oleh agensi Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati kawasan runtuhan lain turut melibatkan Laluan FT 1275 Seksyen 2.7 Jalan Felda Kepis sepanjang 30 meter dengan kedalaman runtuhan dianggarkan 10 meter,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyatakan kawalan lalu lintas di kawasan itu juga dilaksanakan dengan meletakkan papan tanda.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita sebelum ini, Ketua Peneroka Felda Kepis, Lihan Samiran berkata, penduduk meminta pihak berwajib diminta membaik pulih dengan segera jalan tersebut yang rosak dalam kejadian cerun runtuh sejak lebih sebulan lalu.
Katanya, penutupan jalan tersebut telah memberi kesukaran kepada penduduk yang terpaksa menggunakan laluan lain iaitu dengan memasuki pekan Kuala Pilah yang sesak dengan kenderaan terutamanya pada waktu puncak dan cuti hujung minggu.
“Ini laluan paling singkat dari Juasseh ke Kepis atau Jelai dan apabila sudah ditutup penduduk terpaksa menggunakan jalan lain yang lebih jauh,” katanya yang memberitahu terdapat seramai 340 orang peneroka yang tinggal di kawasan Felda Kepis.
-Utusan Online