SINGAPURA: Sebuah pesawat Qantas yang terbang dari Singapura ke London terpaksa melakukan pendaratan cemas di Azerbaijan akibat petunjuk kerosakan di kokpit.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Penerbangan QF1 berlepas dari Terminal 1 Lapangan Terbang Changi pada pukul 12.44 pagi selepas mengalami kelewatan selama 49 minit dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Heathrow pada 2.15 petang tadi.
Radar penerbangan menunjukkan pesawat yang menuju ke Heathrow berada di udara selama kira-kira sembilan jam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Changi, namun tiba-tiba membuat pusingan 180 darjah berhampiran sempadan Georgia.
Menurut laman web Flightradar24 Sweden, Airbus 380 mengeluarkan kod komunikasi untuk kecemasan ‘7700’ sebelum membuat pendaratan tidak berjadual di Lapangan Terbang Antarabangsa Heydar Aliyev di Baku.
Pesawat itu selamat mendarat kira-kira pukl 11.07 pagi dan diperiksa perkhidmatan kecemasan di landasan.
“Penerbangan kami dari Singapura ke London telah melakukan pendaratan tidak berjadual di Lapangan Terbang Baku di Azerbaijan selepas juruterbang menerima petunjuk kerosakan di kokpit.
“Jurutera akan memeriksa pesawat sebelum meneruskan perjalanan,” kata jurucakap Qantas.
Lapangan Terbang Baku memaklumkan di laman Facebook, terdapat 356 penumpang di atas kapal dan permintaan untuk mendarat secara tiba-tiba adalah disebabkan oleh asap yang dihasilkan dalam ruang kargo.
UtusanOnline-