KUALA LUMPUR : Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan mampu menjimatkan sehingga RM2 bilion apabila menghentikan amalan rundingan terus membabitkan cadangan projek rancangan tebatan banjir (RTB).
Ikuti Mynewshub: Telegram
Perdana Menteri menjelaskan, beliau terpaksa mengkaji semula kaedah pemberian kelulusan projek yang dibuat secara rundingan terus kerana ia bukan bersifat mendesak.
“Terkait juga mengenai kontroversi mengenai rancangan tebatan banjir yang diperuntukkan RM15 bilion dan ini diluluskan sebanyak RM13.8 bilion dan daripada RM15 bilion projek RBT yang diluluskan secara rundingan terus, RM13.8 bilion sudah diluluskan tapi belum dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan.
“Sebab itu saya batalkan rundingan terus itu kerana ia (projek) tidak mendesak dan saya tahan (projek ini) kerana apabila rundingan (semula), kita boleh jimatkan hampir RM1 bilion dan mengikut Kementerian Kewangan daripada awal, minimum RM1 bilion (boleh dijimatkan) sehingga proses rundingan tertakluk kepada beberapa tahap jadual kerja dan jadual pembayaran (boleh dijimat lagi) sehingga RM2 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 di Dewan Rakyat hari ini.
Pada ucapan itu, Anwar berkata, beliau tidak mengaitkan isu terbabit secara terus kepada bekas menteri yang menerajui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sebelum ini.
Namun, katanya, beliau terpaksa menyebut mengenai proses rundingan terus itu kerana ada rekod dan surat.
“Jadi Yang Berhormat perlu faham kenapa saya berkeras dalam soal ini, daripada RM15 bilion, boleh dijimatkan hampir RM2 bilion kerana kita hentikan amalan rundingan terus ini.
“Kadang-kadang rundingan terus ini apabila disemak, ada syarikat menantu, syarikat anak (dapat projek), ini yang kita nak betulkan. Ini bukan kenyataan melulu dan saya sebut ini di Parlimen selepas meneliti.
“Jadi soal bersih, tidak ada bersih, banyak yang kotor,” katanya.
Bekas Menteri KASA, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, sebelum ini menegaskan beliau tidak pernah menandatangani sebarang Surat Setuju Terima (SST) kepada mana-mana syarikat berhubung projek tebatan banjir.
Tuan Ibrahim turut mempersoalkan jumlah peruntukan RM7 bilion yang hendak dikaji semula oleh Kerajaan Persekutuan seperti diumumkan Perdana Menteri, baru-baru ini berikutan peruntukan asal adalah RM15 bilion.
-Berita Harian