SEPANG : Mulai 18 Mei tahun depan, Suruhanjaya Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan melaksanakan sistem baharu yang akan memendekkan laluan mendarat pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) .
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata sistem dikenali Laluan Pelepasan Standard (SIDs) dan Laluan Pendaratan Standard (STARs) itu akan menjimatkan masa mendarat, sekali gus menjimatkan penggunaan bahan bakar pesawat penerbangan.
“Dengan adanya sistem ini, dianggarkan boleh menjimatkan kos bahan bakar hampir RM500 juta setahun untuk syarikat penerbangan yang beroperasi di KLIA.
“Ini penjimatan besar kepada syarikat penerbangan dan diharap dapat membantu sektor penerbangan.
“Menerusi sistem ini juga, semua pesawat yang mendapat di KLIA boleh menjangka masa menunggu untuk mendarat lebih pendek antara 18 hingga 22 minit atau penjimatan jarak 44 hingga 67 batu nautika.
“Bagi penumpang, perjalanan mereka lebih pantas apabila pesawat boleh mendarat tepat waktu atau lebih awal daripada jadual, maka waktu penerbangan lebih pendek,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi CAAM, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abdul Rahman.
Selain itu, beliau berkata, sistem itu juga boleh mengoptimumkan kapasiti 108 penerbangan dalam tempoh satu jam berbanding anggaran 50 pesawat ketika ini.
“Menerusi inisiatif ini dapat juga menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon dalam membantu penjagaan alam sekitar,” katanya.
Ditanya mengapa tempoh sehingga Mei tahun depan diperlukan bagi pelaksanaan sistem itu, Loke berkata, ia berikutan persediaan terutama latihan kepada pegawai trafik udara perlu diberikan bagi memahami sistem baharu terbabit.
“Pegawai trafik udara perlu dilatih, sistem perlu diubah kerana walaupun ada penjimatan yang paling penting adalah keselamatan kapal .
“Ia memerlukan masa lima hingga enam bulan, selain perlu juga memaklumkan kepada syarikat penerbangan bagi makluman juruterbang mereka,” katanya.
Selain itu, Loke berkata, pihaknya sudah meminta syarikat penerbangan menambah kekerapan penerbangan terutama pada waktu malam dan memanjangkan tempoh operasi ketika musim perayaan.
“Pada minggu lalu, kita adakan perbincangan dengan CAAM, jadi untuk musim perayaan dengan terbaru Tahun Baharu Cina, kita minta kerjasama semua menara trafik supaya waktu operasi dipanjangkan, maka syarikat boleh tambah penerbangan tengah malam, selain jadual perjalanan sedia ada.
“Jadi apabila kekerapan penerbangan ditambah, harga tiket akan lebih kompetitif dan lebih murah, sekali gus dapat membantu industri,” katanya.
-Berita Harian