HULU SELANGOR: Identiti wanita Melayu yang merupakan antara 24 maut dalam tragedi tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Genting Highlands, di sini dipercayai pekerja kantin Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong, Kampung Batu Kuala Lumpur.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Nurul Azmani Kamarulzaman, 31, yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan dikatakan mengikuti rombongan 20 guru sekolah itu dan berkhemah di lokasi itu sejak Rabu lalu.
Sepatutnya mereka pulang semalam, namun kejadian berlaku awal pagi Jumaat itu mengorbankan 24 mangsa termasuk Nurul Azmani manakala sembilan masih hilang.
Difahamkan proses pengecaman wanita itu selesai dilakukan dan dijangka dikebumikan malam ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 5, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
Pada awal pagi semalam, kejadian tanah runtuh mengorbankan 24 nyawa di atas tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali-Genting Highlands dekat sini berlaku di tapak diusahakan sebuah syarikat disahkan beroperasi tanpa lesen.
Kegagalan struktur kaki cerun dipercayai menjadi punca kejadian membabitkan keluasan keseluruhan 225,000 meter padu membabitkan anggaran tanah runtuh sebanyak 500,000 tan dengan ketinggian 30 meter.
Daripada 94 mangsa kejadian itu, antara yang terkorban adalah penghuni perkhemahan dari Melaka dan Kuala Lumpur manakala yang terselamat pula terdiri daripada pekerja ladang tersebut termasuk 13 warga Myanmar.
UtusanOnline-