DHAKA: Satu kajian baharu mendapati vaksin oral yang diluluskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah selamat untuk merawat virus polio jenis 2, serta mampu menghasilkan 99 peratus antibodi peneutral pelindung terhadap bayi baru lahir dan tidak divaksin sebelum ini.
Ikuti Mynewshub:Â Telegram
Kajian dijalankan oleh saintis di Pusat Penyelidikan Penyakit Cirit-Birit Antarabangsa, Bangladesh (ICDDR,B) yang berpangkalan di Dhaka bersama rakan kongsi itu diterbitkan dalam jurnal The Lancet, lapor Agensi Anadolu dengan memetik kenyataan ICDDR,B semalam.
Saintis kanan di Bahagian Penyakit Berjangkit pusat terbabit, Dr Md K Zaman yang mengetuai kajian itu, berkata kajian pertama dijalankan ke atas golongan ibu dalam trimester ketiga kehamilan dan menunjukkan vaksin oral berkenaan selamat serta menghasilkan 99 peratus antibodi.
Vaksin polio oral dua dos yang terbaru itu diluluskan WHO pada November 2021.
Dr Zaman berkata, vaksin polio oral baharu itu selamat dan imunogenik kepada kumpulan umur yang paling perlu divaksinasi bagi menghentikan rantaian penularan polio dalam komuniti berisiko.
Beliau berkata, lebih 450 juta dos vaksin yang diluluskan sudah diberi mengikut Prosedur Penyenaraian Penggunaan Kecemasan WHO tanpa sekatan umur terhadap penerima.
Percubaan fasa kedua kajian itu dijalankan di luar bandar Bangladesh di Pusat Penyelidikan Kesihatan Matlab ICDDR,B di Chandpur dari 21 September 2020 hingga 16 Ogos 2021.
Secara keseluruhan, 327 wanita menerima dua dos vaksin atau plasebo dan 325 daripadanya telah diuji untuk imunogenisitas.
Kajian berkenaan dijalankan dengan kerjasama Yayasan Bill & Melinda Gates, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Institut Vaksin Antarabangsa di Seoul serta beberapa institusi lain, dengan dibiayai oleh Yayasan Bill & Melinda Gates.
Bilangan kes polio di seluruh dunia menurun daripada anggaran 350,000 pada 1988 kepada enam kes pada 2021 – penurunan lebih 99 peratus dalam kes dilaporkan, menurut CDC.
BHonline-