KUALA LUMPUR : Seorang waris meraung kesedihan apabila dimaklumkan dia telah kehilangan empat ahli keluarga dalam kejadian tanah runtuh Batang Kali-Genting Highlands.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Beh Su Lee, 59, bukan sahaja kehilangan anak perempuan dan menantunya masing-masing dalam lingkungan 30an, dia juga kehilangan dua orang cucu iaitu cucu lelaki dan perempuan masing-masing dibawah umur enam tahun.
Malah, kedengaran tangisannya di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh sewaktu van jenazah membawa keluar empat ahli keluarganya.
“Empat orang (hilang)…anak, menantu dan dua orang cucu.
“Tadi sudah tahu satu (identiti), semalam tiga,” katanya ketika ditanya oleh pemberita sebelum berlalu pergi untuk proses pengebumian.
Empat ahli keluarga Su Lee yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor itu dipercayai bercuti di tapak perkhemahan milik Father’s Organic Farm sebelum kejadian tanah runtuh meragut nyawa mereka.
Empat mangsa itu merupakan sebahagian daripada 24 mangsa yang meninggal dunia akibat kejadian tanah runtuh.
Namun, identiti keempat-empat ahli keluarganya masih belum disahkan oleh pihak berkuasa.
Hanya enam identiti mangsa telah dikenal pasti setakat ini termasuk termasuk pekerja kantin di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong, Nurul Azwani Kamarulzaman.
Selebihnya, identiti mangsa masih belum dapat disahkan.
-Utusan Online